Sep 13, 2012

Sejarah Sandakan??...wahhhh, entri serius nih..Ahaks


Assalamualaikum ^____^



Aku berasa tertarik untuk mengupas tentang Sandakan bila mendapat tahu suatu ketika dahulu, Sandakan juga  pernah dikenali dengan jolokan 'Bandar komuniti antarabangsa'. Apa yang terlintas di kepalaku (yang jarang berfungsi ini ;p) , sudah tentu suatu ketika dahulu Sandakan juga pernah menjadi tempat tumpuan masyarakat dari pelbagai bangsa dan pelbagai negara. Bukan sahaja tumpuan malah mungkin menjadikan Sandakan sebagai rumah kedua bagi mereka yang datang ke sini suatu ketika dahulu. Tetapi dari negara manakah mereka?dan bangsa apa?kenapa Sandakan menjadi tumpuan? Istimewa kah Sandakan suatu ketika dahulu?  Aha…inilah yang harus aku cari tahu!!!! Walaupun nama Sandakan tidaklah seGah nama Melaka suatu ketika dahulu, namun sudah tentu Sandakan jugak mempunyai suatu cerita yang menarik untuk di kongsikan bersama. Betul tidak? hehehe...

Apabila menceritakan tentang sejarah Sabah, yang terlintas di mindaku sudah tentu  Kesultanan Sulu dan Kesultanan Brunei. Inilah fakta sejarah Sabah yang telah disogokkan kepadaku dalam mata pelajaran Sejarah di sekolah. Kesultanan Sulu, Kesultanan Brunei dan Syarikat Borneo Utara Inggeris adalah antara frasa-frasa yang agak sinonim dengan Sabah suatu ketika dahulu. Teringin bercerita tentang sejarah tempat tinggalku ni. Aku sebenarnya masih tidak jelas berkaitan dengan sejarah Sandakan. Hehehe..so apa kata aku kongsikan sedikit info sejarah berkaitan dengan kewujudan Sandakan yang aku dapat dari buku bertajuk ‘Sandakan, History, Culture, Wildlife and Resorts of the Sandakan Peninsula’ hasil tulisan Wendy Hutton.  

Sabah suatu ketika dahulu secara mutlaknya adalah di bawah kekuasaan Kesultanan Brunei, namun pada tahun 1703, Kesultanan Brunei menganugerahkan Sabah Timur kepada Kesultanan Sulu di atas bantuan mereka menumpaskan pemberontakkan di Brunei.  

Sejarah pendudukan awal orang Eropah di Sandakan telah dipelopori oleh William Clarke Cowie iaitu seorang penyeludup senjata api yang berasal dari Scotland. Cowie telah mendapat keizinan daripada  Sultan Sulu untuk mendirikan sebuah tapak perniagaan dan menamakan kawasan yang diperolehinya itu dengan nama Sandakan  yang bermaksud 'tanah yang digadai' dalam Bahasa Sulu. Nama Sandakan kemudiannya ditukar kepada Kampung German akibat daripada peningkatan jumlah penduduk Jerman yang datang ke Sandakan. Isu pajakan ke atas Sandakan daripada Sultan Sulu pula bermula semasa penjajahan Inggeris. Pada tahun 1878 Baron von Overbeck akhirnya memperolehi pajakan untuk menduduki Sandakan setelah mencuba sejak dari tahun 1875 lagi . Overbeck meletakkan 3 orang Inggeris  menjaga Sabah bagi pihaknya dan salah seorang bernama William Pryer yang telah diarahkan mengawal bahagian Pantai Timur. Prayer telah membangunkan semula  Kampung German pada tahun 1879, yang mana pada waktu itu hanya  terdapat 17 buah rumah yang diduduki oleh nelayan tempatan dan  3 orang pedagang cina.Manakala, hanya terdapat 2 buah perkampungan kecil yang wujud berhampiran dalam kawasan Sandakan Bay, iaitu sebuah kampung diduduki oleh masyarakat Bajau dan sebuah lagi oleh masyarakat Suluk. Pada pertengahan June 1879, kebakaran yang berlaku di Kampung German telah mengalihkan tumpuan Prayer dan membina perkampungan baru di kawasan Buli Sim-Sim dan menggantikan nama Kampung German kepada Elopura yang bermaksud 'Bandar yang Indah'

Bandar pertama yang wujud di Sabah yang dibangunkan oleh Syarikat Borneo Utara Inggeris adalah Kudat. Namun, pada tahun 1883, akibat daripada masalah kekurangan air dan masalah lanun maka Syarikat Borneo Utara Inggeris berpindah ke Sandakan. Prayer mengambil kesempatan ini untuk membangunkan Sandakan sebagai pusat perdagangan dan perniagaan. Dalam tempoh 5 tahun pertama populasi penduduk di Sandakan telah meningkat sebanyak 500% yang mana pada tahun 1882, 50% penduduk adalah terdiri daripada masyrakat Cina. Perladangan Manila hemps (sejenis tumbuhan untuk dijadikan tali), kopi, koko dan kelapa berkembang dengan pesatnya. Antara syarikat cina yang terawal dan tertua pada masa itu adalah Syarikat Kwan Woon Kwong  dan Man Woo Loong. Terdapat juga beberapa syarikat dari Hong Kong  membuka cawangan yang beribu pejabat di Sandakan. Kepesatan aktiviti perladangan membawa kepada kemasukan buruh-buruh kontrak yang datang dari China dan bekerja di ladang-ladang tembakau dan kelapa. Ini membawa kepada peningkatan masyarakat cina yang mendadak menjadikan Sandakan  pada waktu itu dikenali sebagai ‘Little Hong Kong’. Perniagaan kayu balak adalah perniagaan yang memberi impak yang besar kepada pertumbuhan bandar Sandakan pada ketika itu. Seawal tahun 1879, pedagang  Cina telah mula mengeksport kayu ke negara China. Kepesatan  perniagaan dan perdagangan yang wujud pada waktu itu secara tidak langsung telah mewujudkan sebuah Bandar Komuniti Kecil Antarabangsa. Sandakan menjadi tumpuan para pentadbir dan peladang British, pekerja-pekerja kontrak dari China, Arab dan India malah Jepun disamping masyarakat tempatan seperti Murut, Dusun, Bajau, Suluk dan Iranun. Dalam dekad antara 1910 dan 1920 Sandakan wujud sebagai sebuah bandar yang menjadi tumpuan dari pelbagai masyrakat dari serata dunia. Ini turut dinyatakan dalam buku Borneo: Stealer of Hearts hasil karya Oscar Cook. 

Kedatangan awal orang Jepun ke Sandakan pula bermula pada tahun 1890-an yang mana kebanyakan mereka bekerja sebagai kuli, buruh kontrak dan mubaligh. Dalam tahun 1910-an masyarakat Jepun mula melibatkan diri dalam perniagaan dan terdapat sumber yang mengatakan bahawa masyarakat Jepun menumpukan kepada perladangan Jut di sekitar Kampung Bilit, Sukau iaitu di dalam kawasan Kinabatangan. Ladang tersebut menggaji seramai 1,700 pekerja dalam tahun 1935 menunjukkan bahawa perladangan pada masa itu memainkan peranan yang sangat penting dalam ekonomi Sandakan. Salah seorang warga Jepun yang tidak dapat dipisahkan dengan sejarah Sandakan adalah Inoshita Okuni. Okuni mula menjejaki kaki di Sandakan pada tahun 1890-an setelah suaminya yang juga seorang Inggeris meninggal dunia. Beliau membuka perniagaan dan terlibat dalam kegiatan pelacuran yang dikenali sebagai Sandakan No.8. Walaupun begitu, Okuni sangat dikenali sebagai seorang yang berjiwa murni dan dermawan di kalangan penduduk Sandakan pada ketika itu. 

Inoshita Okuni - Kiri
Penjajahan Jepun ke atas Sandakan bermula pada Januari 1942 iaitu semasa berlakunya Perang Dunia Ke-2. Keadaan kacau-bilau serta kemusnahan harta benda yang besar akibat daripada peperangan menyebabkan Syarikat  Borneo Utara Inggeris tidak mampu membina semula Sabah dan bermulanya era Kaloni British. Berikutan perubahan pentadbiran itu, ibu negeri berpindah ke Jesselton yang kini dikenali sebagai Kota Kinabalu.


wajah lama Sandakan

1 comment:

  1. awesome story ... aku juga orang sandakan ... tinggal mana ya?

    ReplyDelete